Thursday, February 17, 2011

Dari Mata Pena Pengerusi PPC7



Kepada Semua Ahli PPC7

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pada 28 Feb 2011, PPC7 genap berusia 7 tahun. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengimbas kembali perkembangan yang telah berlaku dalan jangkamasa tersebut.

Ada di antara kita yang bermula di Cluster 7 (C7) seawal 2002 apabila rumah-rumah mula siap dibina. Jumlah penduduk kian bertambah pada 2003 tetapi dianggarkan tidak melebihi 150 buah rumah. Rumah-rumah dikira layak dihuni kerana terdapat bekalan air dan elektrik. Selainnya seperti lampu jalan, kutipan sampah, kemudahan talipon dan lain-lainnya masih menjadi tanda tanya. Tekanan daripada kekurangan kemudahan asas ini telah mendesak penduduk ketika itu untuk mewujudkan jawatankuasa penaja bagi menubuhkan persatuan penduduk, sama seperti kawasan-kawasan lain dalam Taman Putra Perdana. Akhirnya, pihak berwajib telah meluluskan Persatuan Penduduk Cluster Tujuh (PPC7) pada 28 Feb 2004, dengan perlembagaan persatuan yang steriotaip – mengikut acuan yang disediakan pihak Pendaftar Pertubuhan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dilantik dari kalangan penduduk memegang jawatan untuk satu penggal selama 2 tahun. Menjadi satu ciri yang unik dimana terdapat di kalangan Pegawai dan AJK PPC7 sekarang (2011) yang bermula dari Jawatankuasa Penaja (2003). Tidak kurang juga penyokong setia yang sentiasa menyokong dan terlibat dengan segala aktiviti persatuan tanpa menjadi AJK. Keahlian dalam PPC7 mengikut perlembagaan adalah dengan permohonan menjadi ahli berserta dengan yuran kemasukan dan yuran tahunan. Prosidur ini masih berkuatkuasa (dan mungkin memerlukan perbincangan).

Pada awal penubuhan, keselamatan kawasan menjadi perkara utama selain mendesak untuk mendapat kemudahan asas. Ketiadaan lampu jalan misalnya berkait rapat dengan insiden pecah rumah dan kecurian yang boleh dianggap berleluasa ketika itu. Pondok Pengawal dibina dengan kutipan wang daripada penduduk (yang setuju) sebanyak RM 25.00 satu rumah. Demi keselamatan kawasan, pihak MPSp tiada bantahan bagi pembinaan pondok tersebut selagi ianya tidak mengganggu laluan kenderaan. Belum timbul isu yang memerlukan persetujuan 85% daripada jumlah penduduk.

Kawalan keselamatan diamanahkan kepada sebuah syarikat yang mengutip bayaran RM 30.00setiap rumah sebulan. Syarikat ini kemudiannya (2005?) meminta bayaran lebih dan ini tidak dipersetujui PPC7. Beberapa syarikat lain juga dicuba tetapi tidak berupaya memberi perkhidmatan yang memuaskan dengan kutipan yang ditetapkan. Akhirnya, ada di kalangan AJK yang sanggup mengendalikan kawalan keselamatan bagi pihak PPC7. Perkhidmatan ini berterusan hingga sekarang walau pun terpaksa melalui berbagai halangan dan rintangan. Juga menjadi satu ciri yang unik dimana kadar bayaran setiap rumah masih dapat dikekalkan sebanyak RM 30.00 sebulan seperti sediakala walaupun harga barangan lain meningkat.

Selama 7 tahun penubuhan PPC7, keadaan telah banyak berubah. Jumlah penduduk telah bertambah. Jumlah bonggol di jalan juga bertambah. Dulunya kanak-kanak kini telah menjadi juvana. Perkara-perkara yang dulunya berputik kini telah menjadi matang. Perubahan ini tentunya memberi kesan dan tekanan yang berlainan kepada perjalanan PPC7.

Terbaru, pagar hijau di Jalan 7/1 dan 7/2 yang selama ini menjadi sebahagian daripada “benteng keselamatan” kawasan terpaksa diroboh oleh pehak pemaju atas arahan MPSp sebab ianya dikira binaan haram kerana permit yang membenarkan pembinaannya telah lama luput. Usaha PPC7 untuk mengambilalih penjagaan pagar tersebut juga tidak dibenarkan. Namun, kita boleh membuat permohonan baru untuk membina pagar dan sekiranya dilulus, terpaksa menanggung kos pembinaan mengikut ciri dan spesifikasi yang ditetapkan serta membayar cas permit setiap tahun. Kita perlu memikirkan kaedah yang sesuai demi mengekalkan tahap keselamatam kawasan.

Kanak-kanak yang membesar sentiasa aktif dan bertenaga dan memerlukan saluran yang produktif bagi mereka melempiaskan tenaga berlebihan ini. Aktiviti-aktiviti sihat yang sesuai dan berterusan perlu diwujudkan supaya mereka tidak mensia-siakan masa dan tenaga mereka. Bahkan, aktiviti untuk dewasa juga kini dalan perancangan, samada di dalam atau di luar kawasan.

Cerita nostalgia dan semasa yang dibentangkan adalah dengan harapan kita sama-sama dapat memikirkan perjalanan PPC7, dan sama-sama bercambah minda. Kebetulan mesyuarat agung tahunan (AGM) dijadualkan pada 5 Mac 2011. Saya amat berharap kehadiran ahli-ahli seramai mungkin walaupun tahun ini bukan tahun pemilihan. Ada perkara yang melampaui tindakan pentadbiran dan memerlukan pindaan kepada perlembagaan. Tidak kira samada tuan-tuan dan puan-puan pernah menjadi AJK atau memegang jawatan dalam PPC7 mahu pun ahli biasa, saya mengalu-alukan kehadiran supaya perbincangan akan lebih menyeluruh. Mungkin ada perkara yang dibincang akan melampaui tindakan pentadbiran dan memerlukan pindaan kepada perlembagaan.

Sekian, semoga minda sentiasa terbuka.

Yang benar



Hj Khalid Hj Ahmad
Pengerusi PPC7

No comments:

Post a Comment